Mīmāmsā Darśana Falsafah_India

Pengenalan

Ini ialah suatu sistem falsafah yang mengutamakan Kitab Suci lebih daripada Tuhan! Sistem ini juga dikenali sebagai Pūrva Mīmāmsā Darśana. Matlamat utama sistem ini ialah untuk memberikan suatu kaedah interpretasi yang dapat membantu memahami ayat-ayat Veda yang rumit mengenai ritual.

Ritual Veda percaya bahawa:

  • Roh akan terus hidup selepas kematian badan dan ia akan menikmati hasil ritual di syurga.
  • Terdapat suatu kuasa atau kesaktian yang menyimpan kesan ritual yang dilakukan.
  • Ayat-ayat Veda tidak boleh menjadi salah
  • Dunia adalah benar
  • Kehidupan dan tindakan manusia di dunia adalah benar dan bukannya mimpi semata-mata.

Teks Utama

Teks utama falsafah ini ialah Mīmāmsāsūtra oleh Jaimini (200 S.M). Kitab ini mengandungi 2500 sutra yang dibahagikan kepada dua belas bab dan 60 sub-seksyen. Ulasan atau Bhāṣya terpenting untuk Mīmāmsāsūtra ialah ulasan oleh Śabara Svāmin (57 S.M. atau 200 M). Bhāṣya Śabara mempunyai dua interpretasi. Ulsan pertama ialah Bṛhatī oleh Prabhākara (650 Masihi) yang masih berada dalam bentuk manuskrip. Ulasan kedua ditulis oleh Kumārila Bhaṭṭa (700 M) dalam tiga bahagian iaitu Ślokavārttika, Tantravārttika dan Ṭupṭīkā.

Teks-teks lain sistem ini ialah Prakaraṇapañcikā oleh Śalikanātha (seorang penuntut Prabhākara), Śāstradīpikā oleh Pārthasarathi (900 M), Nyāyamālāvistara oleh Mādhava Vidyāraṇya (1350 M) dan Arthasaṅgraha oleh Laugākṣi Bhāskara (kurun ke-17 M).

Teori Ilmu

Mīmāmsā Darśana telah membina suatu kaedah epistemologi untuk membuktikan keagungan Veda. Sistem-sistem falsafah lain, terutamanya Vedānta Darśana juga menerima kaedah epistemologi ini.

Tiga syarat-syarat perlu dipenuhi untuk menerima sesuatu ilmu sebagai benar, iaitu:

  1. Ia perlu memberikan sesuatu informasi baru yang tidak pernah diketahui.
  2. Ia tidak harus disangkal oleh ilmu lain.
  3. Tidak ada kecacatan dalam syarat-syarat yang menghasilkan ilmu itu.

Mīmāmsā Darśana menerima dua jenis sumber ilmu : pratyaksa (terus) dan paroksa (perantara).

Pratyaksa

Ini ialah ilmu yang diperolehi secara terus atau serta-merta dan ia mempunyai dua tahap. Sebaik sahaja organ-deria berhubung dengan objek-deria, ia akan menyedari kewujudannya secara am. Ini dikenali sebagai nirvikalpaka-pratyaksa. Dalam tahap seterusnya, semua butiran terperinci akan dikenalpasti berdasarkan kepada pengalaman lepas. Ini dikenali sebagai savikalpa-pratyaksa.

Paroksa

Ilmu yang diperolehi secara perantara dibahagikan kepada lima jenis:

  1. Anumana - Ilmu yang diperolehi secara inferensi atau tidak terus dikenali sebagai anumana. Contohnya, apabila melihat asap dari sebuah bukit, kita boleh menyimpulkan bahawa terdapat kebakaran di atas bukit itu (meskipun kita tidak melihat kebakaran itu). Ini kerana, daripada pengalaman lepas, kita tahu asap sentiasa berkaitan dengan api.
  2. Upamana - Ini bermaksud bandingan dan ia juga suatu sumber ilmu. Apabila melihat itik, seseorang teringat akan angsa yang pernah dilihatnya. Dia mengetahui bahawa angsa yang diingatinya sama seperti itik yang dilihatnya. Ilmu begini diperolehi secara upamana atau bandingan.
  3. Sabda - Sumber ilmu terusnya ialah sabda atau keterangan lisan. Mīmāmsā Darśana amat menekankan keterangan lisan kerana ia perlu menegakkan otoriti mutlak Veda. Kata-kata seseorang yang boleh dipercayai dianggap sebagai benar. Ini dikenali sebagai Āptavākya. Terdapat dua jenis keterangan lisan: Pauruseya (manusia, sama seperti Āptavākya) dan Apauruseya (bukan manusia, atau Veda). Veda bukan suatu ciptaan manusia. Veda merupakan otoriti agung kerana ia adalah Kitab Rukun Tuhan. Veda memberikan ilmu yang benar tentang sesuatu kebenaran yang tidak dilihat dan tidak dikenali. Matlamat utamanya ialah untuk memperkembangkan ritual korban. Veda adalah abadi. Veda bukan sebuah buku atau mantera-mantera yang diturunkan secara lisan. Veda ialah ajaran abadi yang diturunkan melalui golongan Rishi dalam setiap zaman.
  4. Arthapatti - Ini ialah anggapan yang perlu mengenai sesuatu fakta yang tidak dikenali. Anggapan ini penting untuk penjelasan yang memuaskan tentang sesuatu anamoli. Misalnya, jika seseorang yang tidak makan pada waktu siang menjadi gemuk, maka anggapan yang munasabah ialah dia makan secara curi-curi pada waktu malam! Ilmu yang diperolehi secara arthapatti adalah berbeza kerana ianya tidak boleh diperolehi dengan kaedah lain.
  5. Anupalabdhi - Keadaan ketiadaan sesuatu perkara juga ialah suatu sumber ilmu kerana ia menerima terus ketiadaan sesuatu objek. Katakan sebuah pasu tidak berada di atas meja di mana ia berada dahulu. Fakta bahawa pasu itu tidak dapat dilihat sekarang membuktikan ketiadaan pasu itu.

Dunia

Mīmāmsā Darśana menerima kewujudan dunia sebagai benar. Menurut falsafah ini, dunia dengan semua benda-benda hidup termasuk pelbagai indriya atau organ-deria adalah benar. Roh menetap buat sementara waktu dalam sesuatu badan untuk menikmati hasil karmanya, baik atau buruk. Dunia penuh dengan pelbagai objek yang memberikan suka dan duka.

Roh

Jumlah roh adalah tidak terkira. Roh adalah abadi tetapi ia mengalami kitaran kehidupan-kematian disebabkan karma (tindakan yang baik atau buruk) yang dilakukan semasa roh menghuni sesuatu badan di dunia. Roh tidak mempunyai kesedaran. Disebabkan pendedahan kepada fikiran, organ-organ deria dan objek-objek deria, roh mendapat kesedaran. Ini dibuktikan dengan ketiadaan kesedaran semasa tidur nyenyak.

Apabila seseorang melakukan upacara korban seperti Jyotistoma menurut Veda, kesan potensinya akan wujud dalam rupa yang halus dalam rohnya dan ia akan memberikan hasil selepas kematiannya. Kuasa potensi ini dikenali sebagai 'apurva'.

Oleh kerana seluruh Veda mengarahkan manusia untuk melakukan karma (ritual menurut Veda), setiap manusia wajib melaksanakan tugasnya. Sesuatu ritual wajib dilakukan kerana ia adalah rukun Veda dan bukannya atas pilihan seseorang untuk melakukannya atau melakukannya dengan cara yang lain. Tugas-tugas ini dibahagikan kepada dua kumpulan secara am: Nitya atau tugas harian yang wajib dan Naimitikka atau tugas sekali-sekala yang wajib. Pelaksanaan tugas-tugas ini akan membantu meningkatkan moral seseorang, dan menyucikan dirinya.

Moksa atau kebebasan

Kebaikan tertinggi (nissreyasa) untuk seseorang ialah untuk mendapat moksa atau kebebasan, iaitu penamatan kitaran samsara sepenuhnya. Apabila roh mencapai moksa, ia dibebaskan sepenuhnya daripada semua suka dan duka meskipun ia tidak mempunyai kesedaran atau kebahagiaan abadi!

Bagaimanakah hendak mencapai moksa? Mīmāmsā Darśana menjawab soalan ini dengan amat ringkas. Dengan menghindari kamyakarma (karma yang didorong oleh keinginan), seseorang boleh bebas daripada kelahiran semula. Dosa yang dilakukan tanpa sengaja boleh ditebusi dengan melakukan pelbagai prayascitta (ritual penebusan dosa). Pelaksanaan Nitya dan Naimittika karma akan membawa cittasuddhi atau kesucian fikiran dan kegagalan melakukannya pula terjumlah kepada pratyavayadosa (kesilapan kegagalan) yang boleh menghalang seseorang mencapai moksa. Prarabdhakarma (karma yang menyebabkan kelahiran semasa) dihapuskan dengan pengalaman dalam kelahiran semasa. Jadi, apabila badan mati, tidak ada faktor baki yang boleh menyebabkan seseorang lahir semula. Maka, secara otomatik seseorang mencapai moksa.

Isvara atau Tuhan

Satu lagi soalan yang dibincangkan dan kemudiannya ditolak ialah sama ada Tuhan wujud atau tidak. Ciptaan tidak memerlukan Pencipta kerana semua bahan yang menjadikan dunia ini sentiasa wujud secara abadi, dan oleh kerana adrsta (karma roh-roh individu) mendorong bahan-bahan ini dalam proses ciptaan. Oleh itu, menurut falsafah ini Tuhan tidak perlu wujud!

Kesimpulan

Memang pelik bahawa suatu sistem yang mengagung-agungkan Veda tetapi telah mengabaikan Tuhan. Bukan sahaja Tuhan, tetapi pelbagai dewa-dewi seperti Indra, Mitra dan Varuna yang disebut dalam upacara korban Veda juga dilayan sama seperti suatu watak khayalan dalam sebuah drama.

Memang tidak salah untuk mengatakan bahawa dengan terlalu menekankan upacara korban, falsafah ini telah menggali kuburnya sendiri dengan mengabaikan Pencipta-Nya.

Namun, dengan mempelajari teori ilmunya dan juga kaedah-kaedah interpretasi ayat-ayat suci Veda, seseorang dapat memahami sistem Vedanta dengan lebih baik.